Wednesday, May 18, 2011

KEPIMPINAN KELAB DAN PERSATUAN

INTERLUDE: KEPIMPINAN DAN PENGURUSAN

Kepimpinan berlaku apabila seseorang itu mendorong, memujuk, dan mempengaruhi orang lain untuk berusaha ke arah pencapaian sesuatu objektif tertentu. Yang membezakan kepimpinan dengan fungsi pengurusan amnya ialah tugas-tugas mendorong, memujuk dan mempengaruhi yang bercorak peribadi. 

Umpamanya, di dalam tugas-tugas merancang atau membaca laporan, mereka tidak melibatkan interaksi peribadi. Kepimpinan pula terdiri daripada interaksi-interaksi kelakuan dengan rakan-rakan sekerja, pekerja-pekerja bawahan, ketua, para pelanggan dan pihak-pihak lain. Boleh dikatakan bahawa di mana wujudnya seorang pengurus yang berkesan di dalam suatu sistem pengurusan yang cekap, di situ juga akan terdapat seorang pemimpin yang berkesan.


DEFINISI KEPIMPINAN

Pada amnya, kepimpinan didefinisikan sebagai seni atau proses mempengaruhi kegiatan manusia yang berkaitan dengan tugas mereka, supaya mereka rela bergiat dan berusaha ke arah pencapaian matlamat organisasi.

Sebaik-baiknya, manusia patut digalakkan untuk menanam kegigihan, keazaman dan keyakinan untuk bekerja. Para pemimpin tidak menekan atau mencucuk suatu kumpulan dari belakang, sebaliknya mereka meletakkan diri di hadapan kumpulan itu sambil memajukan dan mengilhamkan ahli-ahli kumpulan itu untuk mencapai matlamat organisasi. Misalnya, seorang pemimpin sebuah pancaragam (orkestra) yang bertugas untuk menghasilkan bunyi-bunyian yang diselaraskan dan irama lagu yang betul, melalui usaha-usaha bersatu ahli-ahli muzik di dalam orkestranya itu.

Terdapat tiga faktor penting tentang definisi kepimpinan. Pertama, kepimpinan mesti melibatkan orang lain atau pihak lain sama ada pekerja-pekerja bawahan yang dipertanggungjawabkan atau para pengikut. Ahli-ahli kumpulan membantu mentakrifkan status pemimpin, dan mewujudkan proses kepimpinan melalui kesanggupan mereka untuk menenima pengagihan kuasa yang tidak seimbang di antara para pemimpin dan ahli-ahli kumpulan.

Kedua, para pemimpin mempunyai autoriti untuk memberi arahan berkenaan dengan setengah daripada kegiatan-kegiatan anggota kumpulan, manakala anggota-anggota pula tidak boleh mengarah aktiviti-aktiviti pemimpin mereka.

Ketiga, selain daripada berkuasa untuk memberi arahan tentang apa yang perlu dilakukan, pemimpin boleh juga mempengaruhi melalui arahan yang dilaksanakan oleh pekerja-pekerjanya. Misalnya, seorang pengurus mungkin dapat mengarah stafnya untuk melakukan sesuatu tugas, tetapi yang mungkin menentukan sampai ada tugas itu benar-benar dikendalikan dengan betul ialah tahap pengaruhnya terhadap pihak yang berkenaan.

KELAKUAN DAN GAYA KEPIMPINAN

Penerangan awal tentang gaya kepimpinan membahagikan gaya tersebut berasaskan kepada bagaimana pemimpin menggunakan autoritinya? Tiga gaya asas dapat dikenal pasti.

Pemimpin yang autokratik merupakan seorang yang dogmatik dan positif, memerlukan stafnya untuk menurut perintah yang diarahkannya, dan memimpin mengikut kebolehannya untuk memberi atau menarik balik ganjaran kerja serta hukuman. 

Pemimpin yang demokratik pula menggalakkan penglibatan dan penyertaan oleh staf mereka tentang tindakan dan pembuatan keputusannya. 

Gaya kepimpinan yang ketiga bercorak laissez-faire yang melibatkan pemimpin yang sedikit sekali menggunakan kuasanya dan memberi staf penuh kebebasan untuk mengendalikan kerja mereka. Pemimpin sedemikian biasanya memberi kebebasan pekerja untuk menentukan matlamat mereka tersendiri serta cara-cara mencapainya. Ia juga melihat peranannya sebagai memberi panduan kepada terlaksananya operasi-operasi stafnya dengan memberi maklumat berhubung dengan persekitaran luaran kumpulan pekerjanya.

Kebanyakan daripada kajian tentang gaya kepimpinan mengikut sistem pengurusan klasik menunjukkan anggapan bahawa pekerja pada dasarnya dilihat oleh pemimpin sebagai salah satu faktor pengeluaran. Dengan ini, gaya pengurusan untuk mencapai output biasanya berat sebelah samada mereka menekankan daya pengeluaran ataupun mereka menekankan kepuasan atau hal-ehwal pekerja semata-mata.

Pakar-pakar penyelidik di Pusat Penyelidikan Universiti Michigan, Amerika Syarikat, telah membentuk suatu model kelakuan kepimpinan berasaskan dua dimensi. Mereka menggunakan konsep berorientasikan pengeluaran (kerja) dan berorientasikan pekerja untuk menerangkan model tersebut. Pemimpin yang berorientasikan kerja mementingkan kerja yang dilakukan, manakala pemimpin yang berorientasikan pekerja lebih mengutamakan penubuhan kerja dan terjalinnya perhubungan peribadi di kalangan pekerja. 

No comments:

PERSIAPAN MENDAKI GUNUNG KINABALU 4,095.2M

GUNUNG KINABALU 4,095.2 Meter adalah gunung tertinggi yang paling selamat untuk didaki di Asia Tenggara. Namun perlu diperhalusi beber...